
KUALA LUMPUR : Peruntukan kepada ahli Parlimen tidak seharusnya diagihkan secara sama rata, sebaliknya wajar ditentukan berdasarkan faktor seperti keluasan kawasan, jumlah pengundi serta tahap keperluan pembangunan setempat.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, ketidakseimbangan itu jelas apabila kawasan Parlimennya mempunyai lebih 300,000 pengundi pada 2022, berbanding sekitar 160,000 di Hulu Langat, 150,000 di Puchong dan hanya 42,000 di Putrajaya.
“Tambahan pula, Bangi mempunyai lebih daripada 700,000 penduduk. Jadi, saya sendiri secara praktikalnya perlu berkhidmat kepada semua penduduk, bukan sekadar 300,000 itu.
“Hal ini kerana tidak boleh mendiskriminasikan atau membezakan antara pengundi dan bukan pengundi di kawasan berkenaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Syahredzan yang juga Naib Pengerusi DAP berkata, sebarang mekanisme pemberian dana kawasan Parlimen perlu menjamin bukan sahaja kesaksamaan dari segi akses, malah keadilan berdasarkan saiz peruntukan yang disesuaikan dengan jumlah pengundi.
“Peruntukan bagi pusat khidmat dan penggajian kakitangan juga perlu mengambil kira faktor lokasi, memandangkan kos penyelenggaraan pejabat dan gaji kakitangan di sesetengah wilayah adalah jauh lebih tinggi berbanding kawasan lain.
“Pada masa yang sama, dana pembangunan wajar mengambil kira hakikat bahawa kawasan luar bandar memerlukan lebih banyak projek infrastruktur berbanding kawasan bandar,” ujarnya lagi.
Beliau menegaskan perlu ada undang-undang untuk mengkanunkan peruntukan kewangan bagi semua ahli Parlimen tanpa mengira jalur politik.
“Undang-undang tersebut bukan sahaja perlu menjamin kesaksamaan dari segi akses kepada dana kawasan Parlimen, tetapi juga saksama dan berkadaran dengan jumlah pengundi serta mengambil kira keadaan khusus bagi setiap kawasan Parlimen,” katanya.







