
KUALA LUMPUR : Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) melantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz sebagai Pengerusi baharu syarikat itu, berkuat kuasa 13 Ogos lalu.
Pelantikan tersebut dilihat bertepatan dengan fasa penting yang sedang dilalui MRT Corp dalam melaksanakan tanggungjawabnya menerajui pembangunan infrastruktur rel serta pembangunan bandar di negara ini.
Antara projek utama yang kini diberi tumpuan ialah Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dan LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang. Pada masa sama, syarikat turut mempergiat usaha berkaitan pembangunan berorientasikan transit (TOD), pembangunan hartanah bersepadu serta pengukuhan sumber pendapatan menerusi aktiviti komersial.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd. Zarif Hashim berkata, kepakaran dan pengalaman Wan Ahmad Dahlan dalam bidang pentadbiran awam, tadbir urus serta kepimpinan institusi diyakini mampu memberikan sumbangan besar kepada hala tuju syarikat.
“Pengalaman beliau akan membantu MRT Corp dalam melaksanakan projek infrastruktur utama negara serta memperkukuh peranannya memajukan agenda mobiliti dan pembangunan bandar di Malaysia.
“Kepakaran beliau dalam pengurusan institusi dan pelaksanaan dasar juga akan membantu MRT Corp memperkukuh keupayaan pelaksanaan serta memenuhi mandat sebagai pemangkin kelestarian bandar dan mobiliti rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Wan Ahmad Dahlan mula menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1995, sebelum membina pengalaman lebih 30 tahun dalam sektor awam dengan menerajui pelbagai jawatan strategik.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau pernah mengetuai Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri sebagai Ketua Pengarah, selain berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara.
Pengalaman beliau turut merangkumi kepimpinan dalam sektor pembangunan tenaga lestari dan pendidikan kepimpinan melalui jawatan Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia serta Razak School of Government.
Dalam bidang korporat pula, Wan Ahmad Dahlan pernah berkhidmat sebagai anggota Lembaga Pengarah Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).







