
PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) terbuka mengadakan perbincangan untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagaimanapun perkara itu akan diputuskan selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh pulang ke tanah air, esok.
“Abd Rauf ini sahabat lama saya dan kami selalu berhubung dan beliau kini dalam lawatan rasmi ke New Zealand. Tarikh beliau pulang ke tanah air termasuk delegasi yang ikut serta pun saya tahu.
“Kami sentiasa berhubung dan berbincang pelbagai perkara, selain akan singgah makan asam pedas Mak Leha di rumah beliau setiap kali saya ke Melaka.
“Oleh kerana PRN Melaka sudah hampir, kemungkinan kita akan bincang juga tajuk berkenaan. Kemungkinanlah, okey,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Jabatan Imigresen serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia hari ini.







