
KOTA BHARU: Permohonan kemasukan MIC ke dalam Perikatan Nasional (PN) telah diluluskan dalam mesyuarat pada Sabtu lalu, menjadikan gabungan itu kini mempunyai lima parti.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, surat rasmi mengenai kemasukan itu akan diserahkan kepada Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran malam ini.
“Saya sahkan untuk berjumpa dengan Presiden MIC malam ini untuk menyerahkan surat rasmi bahawa mereka diterima sebagai parti anggota PN.
“Kemasukan MIC sudah diluluskan sejak Disember tahun lalu namun pada mesyuarat PN Sabtu lalu, kita mengesahkan secara rasmi kemasukan parti berkenaan menjadikan lima parti anggota setakat ini,” katanya ketika ditemui selepas Penyampaian Sumbangan Kepada Penggerak PAS Kota Bharu di sini, hari ini.
Takiyuddin berkata, lebih lima parti lain turut memohon untuk menyertai PN.
Katanya, kepimpinan baharu PN kini lebih inklusif dengan jawatan diberikan secara menyeluruh kepada pelbagai parti, tidak lagi terhad kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
“Jika sebelum ini yang memegang jawatan adalah PAS dan BERSATU, namun kini menyeluruh. Malah MIC yang baru menyertai PN pun mungkin akan diberi jawatan.
“Sekarang ini selain terbuka kepada mana-mana parti, kita juga buka kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli bersekutu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan lima parti yang memohon menyertai gabungan itu.






