
KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah global jatuh di bawah paras AS$100 setong susulan perkembangan positif rundingan gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Perkembangan itu menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu sebagai pertukaran kepada kebenaran laluan selamat kapal melalui Selat Hormuz.
Setakat ini, minyak mentah Brent mencatatkan penurunan sebanyak 13.20 peratus kepada AS$94.85 setong.
Sementara itu, West Texas Intermediate (WTI) turut merosot 14.58 peratus kepada AS$96.48 setong.
Penganalisis pasaran melihat penurunan tersebut didorong oleh pengurangan risiko geopolitik yang sebelum ini meningkatkan harga minyak.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, situasi semasa bukan perubahan struktur pasaran, sebaliknya pelarasan terhadap premium risiko yang sebelum ini diambil kira.
“Apa yang berlaku ketika ini adalah pengurangan mekanikal terhadap premium risiko geopolitik berdasarkan jangkaan senario paling buruk,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau menjelaskan, dalam jangka masa terdekat, harga minyak berpotensi kekal di bawah paras AS$100 setong.
Bagaimanapun, katanya, paras minimum itu masih tidak stabil sekiranya ketegangan di Selat Hormuz tidak reda sepenuhnya.
“Tanpa penyelesaian konkrit, risiko lonjakan harga minyak masih tinggi,” katanya.
Menurut beliau, gencatan senjata selama dua minggu itu memberi ruang kepada pasaran untuk menilai semula keadaan semasa.
Namun, ketiadaan kemajuan nyata dalam memastikan laluan Selat Hormuz kekal terbuka boleh menyebabkan harga kembali meningkat.
Tambahnya, risiko gangguan bekalan masih wujud berikutan kerosakan infrastruktur yang memerlukan tempoh lama untuk dipulihkan.
Dalam masa sama, pembukaan laluan selat secara berterusan dilihat sebagai faktor penting untuk menurunkan harga minyak dengan lebih stabil.
Jika ketegangan berjaya diredakan, harga minyak berpotensi kembali ke sekitar AS$90 setong.
Beliau turut menyatakan hasil lebih positif bergantung kepada kesinambungan usaha diplomatik antara pihak terlibat.
Namun begitu, pasaran ketika ini masih belum mengambil kira sepenuhnya kemungkinan laluan Selat Hormuz kekal dibuka.
Faktor politik termasuk pilihan raya separuh penggal di AS juga dijangka mempengaruhi tahap konflik dalam jangka masa terdekat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, gencatan senjata itu membuka ruang kepada pergerakan kapal melalui laluan strategik tersebut.
Menurutnya, 20 peratus bekalan minyak global bergantung kepada Selat Hormuz.
Katanya, sekiranya ketegangan terus reda, ia akan memudahkan usaha pembinaan semula kemudahan minyak dan gas.
Langkah itu sekali gus dapat mengurangkan kekangan bekalan dalam pasaran global.
“Pemulihan akan berlaku secara berperingkat dan pasaran memerlukan kepastian konflik akan berakhir,” katanya.
Beliau menegaskan keadaan semasa masih tidak menentu dan terlalu awal untuk membuat jangkaan yang pasti.







