
KUALA LUMPUR: Program Malaysian Indian Skills Initiative (MiSI) 2.0 bakal dijenamakan semula sebagai Vetri MADANI bagi memperluas peluang kerjaya komuniti India khususnya golongan B40.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, program Vetri MADANI tahun ini akan dilaksanakan dengan peruntukan berganda menerusi kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDCorp).
“Jumlah baharu itu masih dalam perbincangan namun ketika ini peruntukan di bawah TalentCorp dan kementerian bagi pelaksanaan program MiSI 2.0 berjumlah RM4 juta.
“Saya beri jaminan ia akan digandakan tetapi tahapnya kita akan kaji dahulu mengikut keperluan.
“Kita tidak mahu membazir dana, setiap sen mesti digunakan dengan betul,” katanya selepas merasmikan Majlis Graduasi MiSI 2.0 di sini hari ini.
Beliau berkata, pendaftaran akan dibuka bagi melihat sambutan sebelum mengumumkan jumlah peruntukan sebenar selain berkata lebih banyak latihan kemahiran dapat dilaksanakan bagi memenuhi keperluan industri semasa.
Program MiSI 2.0 mencatat kejayaan apabila 300 daripada 400 peserta berjaya memperoleh pekerjaan dengan pendapatan antara RM3,000 hingga RM7,500 sebulan, bergantung pada bidang masing-masing.
“Saya berharap Vetri MADANI dapat membantu graduan memperoleh tawaran gaji lebih tinggi khususnya dalam sektor kejuruteraan dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.






