KUALA LUMPUR: Pengarah dan penyanyi kontroversi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee ditahan polis selepas dipercayai memiliki pil ekstasi di sebuah hotel di ibu negara, bulan lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 22 Oktober lalu kira-kira pukul 4.30 petang.
“Polis menemukan sembilan biji pil biru disyaki ekstasi seberat kira-kira 5.12 gram di dalam bilik hotel berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati positif amphetamine, methamphetamine, ketamin dan THC.
Suspek kemudian direman selama dua hari sebelum dituduh di mahkamah pada 24 Oktober lalu dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 39A(1) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Namewee mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut dan mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Kes berkenaan ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 Disember ini.
