
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan terus memperkasa pembangunan sektor animasi tempatan.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, animasi merupakan antara sektor perfileman yang penting dan berpotensi tinggi termasuk untuk dieksport.
“Sebagai contoh, filem animasi Papazola berjaya mengutip lebih RM68 juta di pawagam seluruh negara dan menembusi pasaran di Indonesia.
“Insya-Allah, Kementerian Komunikasi dan khususnya FINAS akan terus membantu pembangunan sektor animasi,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan bersama FINAS dan Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) di Menara Komunikasi, Putrajaya bagi membincangkan isu-isu semasa penggiat industri animasi.
Fahmi menambah, perjumpaan tersebut memberi peluang memahami lebih mendalam isu-isu yang dihadapi pemain industri animasi.
Katanya, FINAS akan mengatur satu sesi pertemuan 𝘵𝘰𝘸𝘯𝘩𝘢𝘭𝘭 selepas Hari Raya Aidilfitri.
ANIMAS telah aktif sejak 2007 dan mempunyai lebih 5,000 ahli di seluruh negara.







