KUALA LUMPUR : PAS mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar berdepan secara terbuka dalam gelanggang demokrasi dengan berbahas hujah, idea dan akhlak politik supaya dapat dinilai sendiri oleh rakyat.
Cabaran itu dibuat sebagai reaksi terhadap kenyataan Ahmad Zahid yang menyarankan PAS membubarkan diri, dengan alasan UMNO lebih awal meletakkan Islam sebagai teras parti melalui pindaan perlembagaan pada 2019.
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad menegaskan, tidak wujud keperluan untuk mana-mana parti dibubarkan bagi memenuhi agenda di luar kerangka demokrasi kerana persaingan politik seharusnya kekal dalam ruang yang matang dan berprinsip.
“Wahai sahabatku Datuk Seri Ahmad Zahid, negara kita ini negara demokrasi. PAS dan UMNO tidak perlu dibubar.
“Mari kita berlawan di pentas demokrasi. Bukan berlawan bertumbuk atau baling kerusi, itu budaya lain.
“Kita berlawan hujah, idea dan akhlak sebagai ahli politik. Biar rakyat yang menghakimi siapa yang layak mereka pilih,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam semasa merasmikan Majlis Penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, Ahmad Zahid mendakwa bekas Mursyidul Am PAS, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, pernah menyebut Pas akan membubarkan diri sekiranya UMNO meletakkan Islam dalam perlembagaan parti.
Tambah Idris, sekiranya membandingkan pencapaian kedua-dua parti, jelas PAS semakin diterima ramai.
Katanya, PAS yang dahulunya sering digambarkan berada dalam ruang lingkup golongan ‘mengaji pondok’ dan ‘orang kampung’, kini merentasi sempadan pengaruh itu dengan peningkatan sokongan anak muda serta kumpulan intelektual.
