
KUALA LUMPUR: Pas menyatakan kesediaan menerajui Perikatan Nasional (PN) bagi memperkasakan organisasi gabungan itu serta membuat persiapan rapi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pendirian itu dibuat susulan perkembangan semasa yang menuntut semua pihak dalam PN bermuhasabah serta mengambil iktibar terhadap apa yang telah berlaku demi memperkukuh semula keyakinan rakyat.
Katanya, Pas menyeru seluruh kepimpinan dan parti komponen PN supaya mengambil langkah sewajarnya bagi memperkukuhkan organisasi gabungan itu agar kekal relevan dan diyakini rakyat.
“Pas dengan ini menawarkan kesediaannya untuk menerajui PN bagi tujuan memperkasakan organisasi serta persiapan menghadapi PRN dan PRU ke-16,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dibuat selepas bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari ini.
Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh kepimpinan PN atas sokongan yang diberikan sepanjang tempoh beliau menerajui gabungan itu sejak penubuhannya lima tahun lalu.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada barisan kepimpinan PN serta parti-parti komponen dalam meneruskan perjuangan politik gabungan berkenaan.







