
KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Pengumuman itu dibuat menerusi satu hantaran dalam media sosial Facebook, susulan keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN di peringkat pusat.
Peletakan jawatan Ahmad Faizal itu menjadikan beliau antara pimpinan utama PN yang mengambil langkah berundur, selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melepaskan jawatan Setiausaha Agung PN dan Datuk Dr. Sahruddin Jamal meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN Johor.
Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026 susulan kemelut politik di Perlis yang menyaksikan peralihan jawatan Menteri Besar daripada PAS kepada Bersatu.
Muhyiddin memimpin PN sejak 7 Ogos 2020, iaitu ketika gabungan itu didaftarkan secara rasmi, dan memainkan peranan utama dalam membentuk hala tuju serta strategi politik PN di peringkat nasional.
Perkembangan terbaharu itu dilihat sebagai fasa penstrukturan semula kepimpinan PN, ketika gabungan berkenaan berdepan cabaran dalaman serta persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum akan datang.





