KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan Mahkamah Tinggi berhubung kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguamnya, Farhan Shafee berkata, notis rayuan itu difailkan pada malam 29 Disember lalu bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang mengenakan hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM11.4 bilion terhadap Najib.
Perkara itu turut disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.
Rayuan berkenaan dibuat terhadap keputusan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang pada Jumaat lalu mensabitkan Najib bersalah bagi empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana kerajaan berjumlah RM2.3 bilion.
Bagi kesalahan penyalahgunaan kuasa, Mahkamah Tinggi mengenakan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda keseluruhan RM11.4 bilion, atau penjara tambahan 40 tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dihukum penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan tanpa sebarang denda dikenakan.
Namun, mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak, menyebabkan bekas perdana menteri berusia 72 tahun itu hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 15 tahun.
Hukuman tersebut akan berkuat kuasa selepas Najib selesai menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kes melibatkan SRC International yang dijadualkan berakhir pada 23 Ogos 2028.
