
SHAH ALAM: Seramai 209 anggota terdiri daripada tujuh pegawai dan 202 anggota lain-lain pangkat (LLP) menjadi kumpulan keempat Malaysian Battalion (Malbatt) 850-12 ke Lubnan membawa misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL), hari ini.
Misi keempat itu diketuai oleh Timbalan Komander Malbatt 850-12, Leftenan Kolonel Firdaus Shah Budin.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kontinjen Malbatt 850-12 secara keseluruhannya dengan kekuatan 854 anggota, terdiri daripada 82 pegawai dan 772 anggota LLP, termasuk 3 pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Kewangan Awam dari Kementerian Pertahanan.

“Atur gerak Kontinjen Malbatt 850-12 dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan penghantaran kumpulan pertama pada 6 November lalu sehingga penerimaan kumpulan terakhir kontinjen Malbatt 850-11 pada 20 November 2024 menggunakan pesawat Batik Air.
“Pertukaran ini dilakukan kerana tempoh penugasan kontinjen Malbatt 850-11 sudah tamat. Pertukaran ini juga selaras dengan ketetapan Force Commander Pasukan UNIFIL dengan mengambil kira semua faktor dan situasi semasa di Lubnan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghantaran Kumpulan Keempat Malbatt 850-12, di Pangkalan Udara Subang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Adly memberitahu, bagi memastikan kelancaran misi, semua anggota kontinjen Malbatt 850-12 sudah menjalani latihan intensif, selain persiapan mental dan fizikal sebelum diaturgerakkan.
Jelasnya, penglibatan Malbatt di bawah UNIFIL bukan sahaja melambangkan sokongan berterusan Malaysia terhadap usaha pengaman PBB, tetapi juga memperlihatkan peranan proaktif negara ini dalam mempromosikan kestabilan dan keselamatan antarabangsa.
“Kita mempromosikan (keselamatan) itu menerusi pendekatan diplomatik dan penyelesaian konflik secara aman,” ujarnya.
Penghantaran kumpulan pertama Malbatt 850-12 dilaksanakan pada 6 November lalu melibatkan 220 anggota terdiri daripada 43 pegawai, seorang pegawai awam dan 174 anggota LLP, serta dua pegawai dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
