
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melancarkan fasa pertama Kajian Impak Kecerdasan Buatan (AI), Digital dan Ekonomi Hijau Ke Atas Tenaga Kerja Malaysia, sekali gus membolehkan penilaian semula ketahanan, kebolehpasaran dan penyesuaian semula pelbagai sektor pekerjaan dilaksanakan di negara ini.
Kajian yang pertama kali dilaksanakan itu memberi tumpuan kepada tiga trend utama ekonomi abad ke-21 iaitu AI, digitalisasi dan ekonomi hijau dengan melihat bagaimana perkembangannya memberi kesan langsung kepada pasaran kerja dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Menterinya, Steven Sim, berkata kajian itu melibatkan skala besar yang pertama kali dilaksanakan kementerian itu melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).
“Bagi fasa pertama, kita pilih 10 sektor utama dalam ekonomi Malaysia kerana sektor terbabit mewakili 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara atau RM933 bilion setahun, membabitkan 3.5 juta pekerja atau 31 peratus keseluruhan tenaga kerja mahir dan separuh mahir.
“Sektor terbabit adalah aeroangkasa, kimia, elektrik dan elektronik (E&E), tenaga dan kuasa (E&P), pemprosesan dan perkhidmatan makanan (FMS), perkhidmatan perniagaan global (GBS), teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), peranti perubatan, pengilangan farmaseutikal dan perdagangan borong dan runcit (WRT).
“Ia menggabungkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan merentasi sektor dengan kajian dilaksanakan selama enam bulan dari April hingga September lalu, membabitkan 300 pihak dari 190 organisasi melalui 150 sesi bengkel, mesyuarat dan libat urus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kajian Impak Kecerdasan Buatan (AI), Digital dan Ekonomi Hijau Ke Atas Tenaga Kerja Malaysia di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Laporan kajian itu mengemukakan enam dapatan dan 10 cadangan penambahbaikan dalam usaha menyokong pembangunan dasar dan perancangan jangka panjang untuk mengekalkan daya saing tenaga kerja di Malaysia.
Dua dapatan utamanya adalah keperluan mendesak bagi semua sektor beralih ke arah aliran AI, digitalisasi, dan ekonomi hijau bagi kekal berdaya saing dan mampan.
Selain itu, terdapat 620,000 pekerjaan atau 18 peratus daripada 3.5 juta pekerja dijangka terjejas secara signifikan dalam tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang susulan perkembangan AI, digital, dan ekonomi hijau.
Steven berkata, melalui laporan itu, pemetaan semula secara menyeluruh boleh dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak berkepentingan termasuk majikan, industri, graduan, golongan pekerja dan universiti.
Dapatan daripada kajian terbabit juga akan menjadi panduan kepada KESUMA bagi menggunakan dana sebanyak RM3 bilion yang diperuntukkan kepada kementerian itu tahun depan untuk memberikan kursus dan peluang peningkatan kemahiran kepada golongan pekerja melalui pelbagai agensi di bawahnya.
“Kita juga akan teruskan kajian fasa kedua di mana akan membabitkan 12 lagi sektor tambahan sebagai usaha untuk mendapatkan satu pemahaman lebih mendalam mengenai keperluan pasaran kerja di masa depan.
“(Dapatan ini nanti) boleh menjadi rujukan kepada pelajar universiti dan pekerja untuk melihat keadaan semasa pasaran kerja supaya mereka boleh membuat persiapan mengikut keperluan industri,” katanya.
Katanya, kajian terbabit turut boleh diakses menerusi portal MyMAHIR yang dibangunkan bagi memaksimumkan potensi bakat tempatan dan membina tenaga kerja masa depan yang produktif.
Melalui MyMAHIR, KESUMA dan agensi di bawahnya khususnya TalentCorp akan mengemaskini perubahan semasa dari segi trend pekerjaan dan teknologi, melakukan analisa kemahiran yang sesuai untuk dipelajari yang turut dipadankan dengan peluang atau potensi pekerjaan tertentu.