
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengisytiharkan Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark sebagai tapak geopark kebangsaan pertama di Selangor.
Keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin pada majlis pengisytiharan itu hari ini, disambut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Pada majlis berkenaan, Sultan Sharafuddin berkenan menyempurnakan lafaz perasmian seterusnya menandatangani plak sebagai simbolik pengisytiharan geopark berkeluasan 112,955 hektar merentasi daerah Gombak dan Hulu Langat.

Sementara itu, Nik Nazmi dalam sembah ucapannya berkata, dengan pengiktirafan sebagai geopark kebangsaan ketujuh ini, GHL Geopark diharapkan mampu melangkah ke arah pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) sekali gus meningkatkan ekonomi tempatan.
Beliau berkata, GHL Geopark menampilkan 31 taman dengan 20 daripadanya diiktiraf sebagai kawasan pelancongan eko dan geo, dilengkapi landskap semula jadi yang masih kekal terpelihara.
Antara 20 tapak berkenaan ialah Gua Batu Caves, Granit Kuala Lumpur, Permatang Kuartza Gombak, Syis Selut Karak bagi daerah Gombak dan Puncak Granit Gunung Nuang, Kompleks Mata Air Panas Dusun Tua serta Air Terjun Sungai Tekala di Hulu Langat.
Nik Nazmi berkata, GHL Geopark adalah satu-satunya geopark yang berada dalam kawasan bandar sekali gus membuktikan pembangunan wilayah dengan warisan berkepentingan geologi, biologi dan budaya, tidak dipinggirkan dalam arus pemodenan.
“Ini adalah bukti usaha kita dalam memelihara kelestarian alam semula jadi dan menguruskan kawasan berkepentingan kebangsaan yang memiliki nilai geopark luar biasa dengan lestari,” katanya.
Sebanyak 10 geopark kebangsaan diiktiraf setakat ini termasuk GHL Geopark, Jerai di Kedah, Kinta dan Lenggong di Perak, Labuan, Sarawak Delta (Sarawak), Stong (Kelantan), Kenyir (Terengganu), Perlis dan Lipis (Pahang).
Dua geopark yang sudah mendapat pengiktirafan UNESCO adalah Langkawi dan Kinabalu.