
KUALA LUMPUR: Golongan muda di negara ini perlu didedahkan secara meluas mengenai ekosistem industri getah dalam usaha menarik minat belia berkecimpung dengan bidang pertanian komoditi.
Menerusi Program Rakan Muda Jom Teroka Industri Getah, golongan belia khususnya dapat membuka minda bagi mendapatkan Latihan kemahiran secara ‘industry oriented’ dalam industri getah.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, bagi merealisasikan insiatif tersebut, kementeriannya terpanggil untuk memberi kesedaran dan pendidikan mengenai kepentingan penglibatan belia dalam industri pertanian, selain bidang sukan dan industri lain.
“Bila bercakap soal belia, ia tidak khusus kepada satu-satu bidang sahaja, contohnya, bidang sukan, bahkan melibatkan aspek lagi meluas seperti bidang pertanian dan teknologi.
“Kementerian Belia dan Sukan berharap golongan belia dapat memainkan peranan mereka secara seimbang dalam membangunkan negara, selaras dengan Hasrat Malaysia Madani,” katanya Ketika menghadiri program tersebut yang berlangsung di Akademi Hevea, Lembaga Getah Malaysia, di sini hari ini.
Program itu disertai seramai 56 orang peserta yang terdiri daripada golongan belia pelbagai latar belakang berusia antara 13 hingga 30 tahun.
Orang ramai boleh menghubungi JBSN di talian 03-8871332 atau emel jbsn@kbs.gov.my bagi mendapatkan sebarang butiran lanjut mengenai program tersebut.