
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan insiden perselisihan faham melibatkan seorang pegawainya dengan fasilitator jemputan sudah diselesaikan secara baik.
Menerusi kenyataan, ATM memaklumkan, insiden yang berlaku hanyalah perselisihan faham ringan yang sewajarnya tidak harus berlaku.
“Laporan polis yang dilakukan kedua-dua pihak juga sudah ditarik semula.
“Sehubungan itu, ATM berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi negatif berhubung insiden yang berlaku,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, ATM mengesahkan berlaku insiden perselisihan faham antara dua individu pada 8 November lalu di Dewan Tun Templer, Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Kem Perdana Sungai Besi.
Inisiden yang tular dalam media sosial itu membabitkan seorang pegawai kaunseling ATM dengan seorang fasilitator jemputan yang merupakan pesara ATM.
“Insiden berlaku ketika sesi ujian psikologi dan kesihatan mental dilaksanakan terhadap kumpulan Pegawai Kadet ALK Pengambilan Tahun 2024 yang dikendalikan pegawai kaunseling berkenaan.
“Berlaku masalah teknikal pada sistem ujian dalam talian yang tidak disengajakan menyebabkan sesi ujian itu berlanjutan sehingga melebihi masa yang ditetapkan dan masalah itu dimaklumkan kepada fasilitator tersebut.
“Namun, selepas 20 minit menunggu, fasilitator tersebut berjumpa dengan pegawai kaunseling berkenaan bagi mendapatkan penjelasan berikutan sesi ceramahnya tertangguh kerana perlu bergegas ke lokasi lain.
“Insiden itu mencetuskan pertengkaran di antara kedua-dua individu berkenaan sebelum dileraikan oleh pegawai lain yang berada di dewan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Susulan pertengkaran itu, kedua-duanya membuat laporan polis secara berasingan.