
KUALA LUMPUR, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengungguli empat anugerah termasuk Penerima Anugerah Pembangunan Negara Tahun 2024 sempena Majlis Anugerah Pembangunan Negara (APN) Tahun 2024.
Kejayaan ini merupakan suatu pengiktirafan besar dan penghargaan atas kesungguhan serta komitmen KPKT dalam memastikan projek-projek pembangunan yang dirancang dapat disiapkan dan memberi manfaat kepada golongan sasaran.
Projek-projek pembangunan ini dinilai dan berjaya memberikan outcome positif dalam mempertingkatkan kualiti hidup rakyat melalui pembangunan yang inklusif, berdaya tahan dan mampan.

Menurut Menterinya, Nga Kor Ming, Kejayaan yang diraih ini adalah hasil kerja keras seluruh warga KPKT yang tekun bekerja, berbakti dan berjasa. Teruskan usaha murni ini, harumkan nama negara kita. Angkat darjat dan martabat rakyat serta negara.
Kerjasama antara semua pihak ini adalah selaras dengan konsep “Stronger Together” dan “Unity In Diversity” yang diamalkan di KPKT dan juga sebagaimana kata pepatah Melayu “bulat air kerana pembetung bulat manusia kerana muafakat”.
Diharapkan ia akan menjadi dorongan dan suntikan semangat kepada seluruh Keluarga KPKT dalam meneruskan kecemerlangan demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan jasa bakti warga keluarga KPKT, Nga Kor Ming mengumumkan untuk menderma satu bulan gaji menteri sebagai tabung kebajikan kakitangan KPKT.