
SINGAPURA: Malaysia dan Singapura menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini dalam usaha memperkasa tindakan membanteras jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah dan jenayah siber.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan memaklumkan, MoU Mengenai Kerjasama Dalam Mencegah dan Menangani Jenayah Rentas Sempadan itu ditandatangani oleh Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang Singapura, K Shanmugam, di sini.
MoU itu memperbaharui kerjasama rentas sempadan sedia ada antara kedua-dua negara, dengan menambah elemen jenayah siber berdasarkan peningkatan kes ketika ini.
Pertemuan kedua-dua menteri itu turut membincangkan kerjasama keselamatan dua hala menyeluruh antara Malaysia dan Singapura, khususnya dalam aspek pembanterasan jenayah rentas sempadan serta bidang berkaitan imigresen dan polis.
Pertemuan itu juga menyaksikan Saifuddin dan delegasi Malaysia menerima taklimat daripada Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura serta mengadakan lawatan ke Pusat Pemeriksaan Woodlands.
“Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan berkenaan sistem kawalan sempadan Singapura, khususnya melalui penggunaan teknologi terkini bagi menguruskan aliran lalu lintas rentas sempadan dengan lebih cekap dan teratur,” menurut kenyataan itu.
Seluruh delegasi Malaysia turut melawat ke Pusat Antipenipuan (ASC) Singapura dan Interpol Cybercrime Directorate untuk memahami pendekatan serta teknologi yang dimanfaatkan dalam usaha membanteras aktiviti penipuan dalam talian.