KUALA LUMPUR: Peguam kepada ahli perniagaan Albert Tei, Mahajoth Singh, menolak sepenuhnya dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kononnya beliau memegang ‘bukti penting’ berkaitan siasatan agensi itu.
Menurut Mahajoth, tuduhan tersebut bukan sahaja tidak berasas, malah bersifat keterlaluan dan berpotensi mengelirukan masyarakat tentang peranan beliau sebagai peguam yang menjalankan tugas pembelaan.
Beliau juga menyangkal dakwaan bahawa beliau menyimpan sebuah telefon bimbit yang didakwa milik Albert, sambil menegaskan segala dokumen yang diminta SPRM berada di bawah perlindungan keistimewaan komunikasi antara peguam dan anak guam.
“Pada kira-kira jam 5.15 petang semalam, ketika saya bekerja di pejabat, empat pegawai SPRM hadir tanpa notis untuk ‘membawa saya’, mendakwa saya melanggar notis berkenaan.
“Apabila saya memaklumkan bahawa saya tidak akan mematuhi arahan yang tidak sah dan bercanggah dengan tanggungjawab saya kepada anak guam, mereka tetap berkeras.
“Tingkah laku mereka tidak perlu, menggentarkan, dan bercanggah dengan piawaian yang sepatutnya dipatuhi dalam siasatan sah. Ia tidak ubah seperti gangguan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahajoth turut menjelaskan rakan-rakan peguamnya Latheefa Koya, N. Surendran dan Rajesh Nagarajan segera hadir bagi menyokongnya ketika beliau cuba memperincikan aspek undang-undang kepada pegawai berkenaan.
Menurutnya lagi, pegawai SPRM kemudian mengemukakan dua notis baharu, sekali gus memperlihatkan bahawa percubaan awal untuk memaksa beliau hadir sebenarnya tidak berlandaskan peruntukan undang-undang yang kukuh.
Notis terbaharu itu menghendaki beliau hadir di bawah Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009, selain meminta dokumen tertentu serta sebuah telefon bimbit seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 30(1)(b) akta berkenaan.
Beliau memaklumkan susulan notis tersebut, dirinya ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10 pagi ini bagi memberikan keterangan.
“Saya menerima notis baharu ini dengan bantahan keras dan saya akan hadir untuk sesi soal siasat di SPRM dengan bantahan yang sama.
“Saya terikat dengan keistimewaan komunikasi peguam–anak guam. Perkara ini dijelaskan dengan jelas dalam surat peguam saya bertarikh 30 November, dan ia adalah prinsip asas undang-undang Malaysia serta Komanwel.
“Saya tidak boleh mendedahkan komunikasi atau bahan yang dilindungi keistimewaan ini dan sukar difahami bagaimana SPRM seolah-olah tidak memahami perlindungan undang-undang asas ini.
“Saya tidak akan diugut atau dipaksa melanggar tanggungjawab suci saya sebagai peguam Albert, tanpa mengira akibat terhadap diri saya,” katanya.
Semalam, SPRM berkata Mahajoth dipercayai menyimpan bahan bukti penting yang berkaitan dengan siasatan berkenaan.
Dalam masa sama, SPRM menjelaskan keistimewaan peguam–anak guam adalah terhad, dengan menyatakan walaupun ia melindungi nasihat undang-undang yang sulit, namun tidak mengecualikan peguam daripada hadir di hadapan penyiasat, tidak melindungi bahan yang tidak berkaitan dengan nasihat undang-undang,dan tidak menghalang soal siasat jika peguam berkenaan adalah saksi material.
