
KUALA LUMPUR : Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) memperkenalkan QV-E, model kereta elektrik pertama keluaran Malaysia, pada harga runcit RM80,000 tidak termasuk insurans dan bateri.
Majlis pelancaran disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin serta Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.
Sebagai produk yang dibangunkan dalam rangka usaha memperkukuh ekosistem kenderaan elektrik negara, QV-E membawa konsep ‘Quest for Visionary-Electric’. Model itu dibangunkan dengan kos keseluruhan RM800 juta di Smart Mobility Plant, pusat pengilangan terbaharu Perodua.
“Kesemua ciri yang terdapat pada QV-E dicipta dengan mengambil kira fungsi terkini, aspek keselamatan yang lebih canggih serta keselesaan pengguna berdasarkan kajian terperinci yang dijalankan yang dijalankan oleh Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan kami.
“Maka terhasillah model QV-E ini yang menjadi bukti kerjasama rakyat Malaysia dalam mencipta sesuatu yang unik daripada reka bentuknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Perasmian EV pertama Perodua yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara MITI di sini hari ini.
Tambah Zainal Abidin pembangunan QV-E dalam tempoh hanya 28 bulan dapat direalisasikan hasil sokongan MITI serta beberapa agensi kerajaan lain.
“Perodua menyasarkan model ini kepada pelanggan kelas pertengahan, khususnya mereka yang perlukan kereta kedua atau kenderaan harian yang lebih cekap.
Bagi memastikan kos pemilikan lebih mampu milik, Perodua turut menawarkan model pajakan bateri melalui konsep ‘Battery as a Service’, yang menyediakan jaminan bateri sepanjang hayat. QV-E hadir dalam dua pilihan warna — Ice Blue dan Caviar Grey — dan boleh didapati di cawangan terpilih,” katanya.
Menurut Zainal Abidin, pengeluaran semasa berada pada tahap 500 unit sebulan dan dijangka meningkat kepada 3,000 unit menjelang suku ketiga 2026 bagi memenuhi permintaan pasaran.
Beliau menambah setiap ciri QV-E direka selepas melalui kajian mendalam bagi memastikan fungsi, keselamatan dan keselesaan pengguna berada pada tahap optimum.
“Model ini membuktikan kemampuan tenaga tempatan menghasilkan kenderaan lengkap dari aspek reka bentuk hingga kejuruteraan,” jelasnya.
QV-E dipacu bateri Lithium Iron Phosphate berkapasiti 52.5kW dan mampu bergerak sehingga 445 kilometer (NEDC), bergantung kepada keadaan jalan, suhu serta gaya pemanduan. Model itu turut dipertingkat dengan ciri keselamatan baharu, termasuk Sistem Pengesanan dan Amaran Kanak-kanak yang mampu mengesan pergerakan atau tanda vital seperti bunyi nafas, walaupun objek berada di bawah fabrik.




