
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, menegaskan aktiviti songsang yang dijalankan sesetengah premis selepas lesen diberikan adalah di luar kawalan pihak berkuasa.
Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya memberikan lesen berdasarkan cadangan aktiviti yang dikemukakan oleh pemohon.
“Apabila permohonan lesen diterima, kita akan meluluskan mengikut cadangan yang ditulis dalam kertas permohonan.
“Contohnya, untuk pembukaan spa kita benarkan. Namun apa yang berlaku selepas itu kadang-kadang di luar kawalan,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat.
Dr Zaliha menjawab soalan tambahan Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang meminta penjelasan mengenai peranan agensi Wilayah Persekutuan dalam memantau premis spa yang disalahgunakan untuk aktiviti songsang.
Soalan itu merujuk kepada kes 208 pengunjung, termasuk 17 penjawat awam, remaja dan warga emas, yang ditahan di sebuah gimnasium dan sauna dua tingkat dipercayai menjadi sarang aktiviti tidak bermoral di Chow Kit, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohd Azani Omar, berkata premis berkenaan dipercayai beroperasi setiap hari sejak lapan hingga 10 bulan lalu dan dijadikan pusat golongan lelaki bertemu serta bertukar pasangan untuk melakukan perbuatan seksual songsang.
Katanya, setiap pengunjung dikenakan bayaran kemasukan RM35, manakala tambahan RM10 dikenakan bagi pendaftaran pelanggan kali pertama.
Dr Zaliha berkata, bagi menangani masalah aktiviti songsang atau sosial, DBKL akan menjalankan pemantauan berkala terhadap premis berlesen.
Katanya, penguatkuasaan akan dilaksanakan segera jika terdapat aduan.
“Bagi kes-kes luar normal di ibu negara, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan dikenali sebagai KL Strike Force.
“Jawatankuasa ini akan bertindak mengikut aduan secara berkala. Penguatkuasaan akan melibatkan kerjasama DBKL dan agensi lain seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan polis,” katanya.







