
SIK: Golongan pekebun kecil menyumbang 88.7 peratus kepada pengeluaran getah asli negara sehingga Jun lepas, sekali gus membuktikan peranan penting mereka dalam memastikan kelangsungan industri komoditi itu.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kesejahteraan dan keperluan pekebun kecil sentiasa menjadi keutamaan kementerian, termasuk memastikan mereka mendapat akses mudah kepada maklumat, bantuan, khidmat nasihat dan teknologi.
“Industri getah bukan sekadar pengeluaran dan nilai eksport, sebaliknya turut membabitkan peranan yang dimainkan oleh pekebun kecil,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Kaunter Getah Untuk Rakyat (GeRaK) di sini hari ini.
Noraini berkata pelaksanaan Kaunter GeRaK menerusi konsep pusat sehenti dapat membawa perkhidmatan kerajaan lebih dekat kepada pekebun kecil dengan menghimpunkan pelbagai perkhidmatan di satu lokasi.
Beliau berkata ia membolehkan pekebun kecil mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat serta mengemukakan permohonan berkaitan industri getah dengan lebih mudah.
“Sehingga kini, sebanyak 44 program pusat sehenti diadakan di Semenanjung, termasuk lapan program yang dilaksanakan di Kedah.
“Kami mahu mereka datang bukan sekadar untuk bertanya tetapi kami mahu urusan mereka diselesaikan dan setiap perkara yang dibangkitkan diberikan tindakan susulan,” katanya.
Noraini ketika mengulas mengenai pemilihan Kedah sebagai lokasi pelancaran berkata daerah Sik mempunyai komuniti pekebun kecil getah yang besar, dengan 8,761 pemegang Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) mengusahakan tanaman getah melibatkan kawasan seluas lebih 10,800 hektar.
Beliau berkata di seluruh Kedah pula terdapat 47,855 pemegang PAT-G dengan keluasan tanaman getah yang diusahakan mencecah lebih 59,000 hektar.
Dalam perkembangan berkaitan, Noraini berkata pelaksanaan Projek Rintis Model Baharu Insentif Pengeluaran Lateks Plus (IPL+) di Kedah sejak 2024 membabitkan 111 pekebun kecil dalam empat kluster.
“Sehingga Ogos 2026, projek ini telah menghasilkan lebih 110,000 kilogram lateks dan menjana pendapatan terkumpul sekitar RM1.37 juta.
“Pencapaian ini menunjukkan pekebun kecil mampu meningkatkan hasil apabila diberikan insentif, teknologi dan akses pasaran yang tepat,” katanya. – BERNAMA






