
PUTRAJAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyokong usaha Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkukuh usaha membudayakan penggunaan tenaga secara cekap melalui pelancaran Kempen Geng Bijak Tenaga 2026.
Inisiatif berkenaan menjadi antara langkah kerajaan untuk menggalakkan rakyat mengurus penggunaan elektrik secara lebih berhemah dan membantu isi rumah mengekalkan penggunaan dalam Zon Selamat iaitu di bawah 600 kilowatt-jam (kWj) atau anggaran bil RM212 sebulan.
Timbalan Menteri PETRA, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kempen berkenaan penting dalam membantu rakyat mengurus penggunaan elektrik khususnya ketika negara berdepan ketidaktentuan global yang memberi tekanan terhadap pasaran bahan api, kos penjanaan elektrik dan kos sara hidup.
Beliau berkata, Zon Selamat ditetapkan bagi isi rumah yang menggunakan elektrik di bawah 600 kilowatt-jam (kWj) atau sekitar RM212 sebulan.
“Kerajaan kekal komited melindungi rakyat melalui pelbagai mekanisme, namun pada masa sama kita mahu membentuk budaya penggunaan tenaga yang lebih cekap dan berhemah.
“Usaha ini bukan hanya soal mengurangkan penggunaan elektrik, tetapi membina kesedaran rakyat bahawa setiap kilowatt-jam yang dijimatkan memberi manfaat kepada keluarga dan kelestarian tenaga negara,” katanya dalam ucapan sempena Perhimpunan Bulan September PETRA di sini hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Setiausaha PETRA Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha (Air) PETRA, Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri.
Abdul Rahman menjelaskan, Kempen Geng Bijak Tenaga 2026 dilaksanakan dalam dua fasa dengan Fasa 1 berlangsung dari 1 Ogos hingga 31 Oktober 2026 sebagai tempoh pemantauan dan pengurusan tabiat penggunaan tenaga di rumah.
Katanya, Fasa 2 pula akan berlangsung dari 1 hingga 15 November 2026, membolehkan peserta mengesahkan penyertaan berdasarkan bil elektrik bulanan sepanjang Fasa 1.

Bagi menggalakkan penyertaan dan perubahan tabiat penggunaan tenaga, kempen menyediakan insentif keseluruhan bernilai RM200,000 kepada 2,000 pelanggan domestik yang memenuhi terma, syarat dan kriteria ditetapkan, dengan setiap pelanggan menerima Touch ’n Go Reload PIN bernilai RM100.
Antara kriteria pemilihan ialah mengekalkan penggunaan elektrik pada paras 600 kWj dan ke bawah bagi dua bulan berturut-turut, mempunyai akaun TNB aktif sekurang-kurangnya 12 bulan, serta mencatat peratusan pengurangan penggunaan elektrik tertinggi berdasarkan perbandingan antara purata penggunaan dalam tempoh kempen dengan purata penggunaan dua bulan sebelumnya.
Pendaftaran kempen dibuka mulai 10 September 2026 kepada pelanggan domestik TNB yang layak. Untuk maklumat lanjut mengenai syarat penyertaan dan pendaftaran, sila layari laman web rasmi Geng Bijak Tenaga di www.gengbijaktenaga.my .
TNB akan menilai dan mengesahkan penggunaan elektrik peserta bagi Oktober dan November 2026, sebelum mengumumkan 2,000 penerima yang memenuhi kriteria kempen pada Disember ini.
PETRA berharap Kempen Geng Bijak Tenaga dapat meningkatkan kefahaman rakyat mengenai bil dan penggunaan elektrik serta membudayakan penggunaan tenaga secara lebih bijak dan cekap.






