
BANGI: Lembaga Tabung Haji (TH) tidak membuat sebarang pelantikan berunsur politik atau berdepan dengan campur tangan politik di bawah kepimpinan semasa, seiring dengan langkah institusi itu memperkukuh tadbir urus yang lebih profesional, kata pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Abdul Rashid berkata sejak dilantik selaku pengerusi pada 2023, beliau tidak membenarkan mana-mana ahli politik dilantik ke dalam Lembaga Pengarah TH memandangkan institusi berkenaan perlu ditadbir secara profesional sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang berwibawa.
“Semenjak saya masuk TH, secara asasnya saya tidak benarkan seorang pun ahli politik (dilantik) dalam TH.
“Saya sangat bertuah, saya bekerja dengan dua menteri yang sangat baik, iaitu menteri terdahulu dan sekarang yang memahami bahawa saya bukan seorang ahli politik dan saya tidak mahu TH dipengaruhi oleh politik,” katanya kepada pemberita pada program Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH di sini hari ini.
Beliau berkata TH perlu diuruskan sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang berwibawa dan diurus secara profesional bagi memastikan urusan ibadah haji dapat dilaksanakan dengan lancar serta memenuhi keperluan masyarakat Islam.
Abdul Rashid berkata komposisi lembaga pengarah pada masa ini adalah berdasarkan dua prinsip utama yang disarankan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), iaitu memenuhi kriteria sesuai dan layak serta keseimbangan kemahiran yang diperlukan oleh institusi berkenaan.
Beliau berkata pendekatan berkenaan membolehkan lembaga pengarah memainkan peranan lebih aktif menerusi pelbagai jawatankuasa lembaga, di samping memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan kepakaran profesional.
“Alhamdulillah, tiada sama sekali berlaku campur tangan politik. Saya boleh memberi jaminan bahawa sepanjang saya bekerja dengan kedua-dua menteri berkenaan, tiada campur tangan politik berlaku,” katanya.
Abdul Rashid berkata pendekatan pengurusan secara profesional turut membantu memulihkan kedudukan kewangan TH, termasuk memperkukuh kedudukan kewangan, meningkatkan rizab serta memastikan institusi berkenaan kembali mencatat keuntungan.
Beliau berkata TH mencatatkan peningkatan keuntungan dan dividen lebih tinggi dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini dengan perkembangan positif itu dijangka berterusan.
“Kami berada di landasan pemulihan tepat dan telah berjaya melaksanakannya. Kami telah memperkukuh kedudukan kewangan, mula meningkatkan rizab, membuat hapus kira terhadap segala yang perlu serta melakukan tadbir urus yang sewajarnya,” katanya.
Ditanya mengenai syor RCI yang paling mencabar untuk diselesaikan, Abdul Rashid berkata TH telah melaksanakan 76 peratus daripada 25 syor yang dikemukakan.
“… malah, ia melibatkan pihak luar dan urusan dengan pihak berkaitan bukanlah sesuatu yang mudah kerana prosesnya mengambil masa yang panjang,” katanya.
Pada 29 Julai, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan laporan RCI setebal 211 halaman berhubung siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan berkenaan mendedahkan pelbagai penemuan berkaitan kelemahan dalam pengurusan institusi berkenaan sepanjang tempoh tersebut, selain mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan, dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas. – BERNAMA





