
KUALA LUMPUR : Semua pelajar Malaysia yang berada di luar negara dilaporkan selamat meskipun dunia kini berdepan ketidaktentuan geopolitik.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata kementerian sentiasa berkoordinasi dengan Kementerian Luar bagi memastikan aspek keselamatan serta kebajikan pelajar terus dipantau dengan rapi.
“Kita akan teruskan usaha membantu mereka dan apa sahaja bantuan akan dikendalikan berdasarkan kes demi kes,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Public-Private Research Network (PPRN) 2026 di sini.
Dalam pada itu, Zambry menegaskan KPT mengambil pendirian tegas terhadap sebarang perlakuan rasuah dalam institusi pendidikan tinggi (IPT).
Menurut beliau, apa jua kes melibatkan salah guna kuasa atau unsur rasuah di mana-mana IPT, sama ada di universiti, politeknik dan institusi lain mesti diberi perhatian serius, tanpa mengambil kira besar atau kecilnya kes tersebut.
“KPT sentiasa memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan siasatan atau semakan kes, selain merujuk kepada Jabatan Audit Negara dalam perkara berkaitan penggunaan sumber kewangan dan pelaksanaan projek,” katanya.







