
KUALA LUMPUR: Cadangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan rangka kerja piawai bagi pemeliharaan, penahanan, dan pendedahan metadata komunikasi disifatkan sebagai langkah penting dalam era digital untuk memperkukuh keselamatan awam dan membanteras jenayah serius seperti penipuan siber, eksploitasi kanak-kanak, dan keganasan.
Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, dari sudut perundangan, akses segera kepada metadata seperti log panggilan, alamat IP, dan data geolokasi memastikan bukti diperoleh secara sah, dipelihara, dan boleh diterima di mahkamah.
Katanya, ia juga membolehkan tindakan siasatan segera dijalankan sebelum bukti penting dipadam atau hilang.
“Dari sudut kriminologi, akses pantas ini amat penting bagi mengenal pasti suspek, mengganggu rangkaian jenayah, dan melindungi mangsa, terutamanya dalam kes jenayah teknologi tinggi yang bergerak pantas, dengan kelewatan walau seketika boleh mengakibatkan kegagalan mencegah bahaya atau menggagalkan pendakwaan.
“Cadangan MCMC menyelaraskan rangka kerja antara semua penyedia perkhidmatan dijangka dapat menangani ketidakkonsistenan sedia ada, menutup jurang bukti, dan memastikan semua pihak tertakluk kepada kewajipan serta perlindungan yang sama.
“Ini bukan sahaja akan mengurangkan pertikaian dari segi bidang kuasa dan kebolehterimaan bukti, malah akan mempercepatkan proses siasatan dan meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan undang-undang,” katanya.
Dr Hazreena juga memberi contoh mengenai negara luar yang turut mengambil inisiatif sama dalam menangani kegiatan jenayah.
Katanya, arahan Penahanan Data Kesatuan Eropah (EU) (2006/24/EC) sebelum ini memperkenalkan peraturan penahanan data seragam di seluruh Eropah, membolehkan kerjasama rentas sempadan yang lebih pantas dalam kes jenayah terancang dan keganasan, walaupun ia kemudian dibatalkan oleh Mahkamah EU.
“Di Australia, Akta Pindaan (Pintasan dan Akses Telekomunikasi) 2015 yang mewajibkan penahanan metadata selama dua tahun telah membantu polis menyelesaikan kes-kes kritikal termasuk jenayah siber dan eksploitasi kanak-kanak,” katanya.
Beliau juga menyatakan, ketiadaan rangka kerja yang konsisten menimbulkan risiko serius terhadap keselamatan awam. Dari segi perundangan, ia menyebabkan pematuhan yang tidak sekata dalam kalangan penyedia perkhidmatan, yang mungkin memadam bukti penting sebelum pihak berkuasa sempat mendapat akses yang sah.
Katanya, Ini melemahkan pendakwaan dan boleh menjejaskan keadilan. Dari sudut kriminologi pula, ia melambatkan siasatan dan membolehkan penjenayah mengambil kesempatan dengan menggunakan penyedia perkhidmatan yang mempunyai dasar penahanan data yang lemah atau tiada langsung.
Walaupun kebimbangan terhadap privasi adalah wajar, MCMC menekankan cadangan ini akan disertai dengan langkah perlindungan ketat seperti akses terhad dengan kelulusan pihak berkuasa, pengawasan kehakiman, dan penahanan metadata sahaja, bukan kandungan komunikasi.
Dr Hazreena memberitahu, kekhuatiran masyarakat sering timbul akibat salah faham metadata adalah setaraf dengan kandungan komunikasi atau kerana persepsi negatif terhadap penguatkuasaan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau berkata, penglibatan masyarakat sivil, pakar privasi, dan sektor teknologi dalam proses rundingan awam amat penting bagi memastikan kebimbangan dapat ditangani dengan fakta dan ketelusan.
“Orang ramai diseru menyertai rundingan awam yang dijalankan MCMC bagi menyuarakan pandangan, cadangan, dan kebimbangan terhadap cadangan ini.
“Penyertaan aktif masyarakat akan membantu memastikan rangka kerja ini dibentuk dengan seimbang, melindungi keselamatan awam tanpa mengorbankan kebebasan peribadi,” katanya.