
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Machang Bubok, Pulau Pinang, awal pagi tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad berkata, suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
“Suspek disyaki warganegara asing dan berumur dalam lingkungan 30-an,” katanya.
Hamzah berkata, pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang sedang menjalankan rondaan di Jalan Gajah Mati pada kira-kira 2.20 pagi sebelum terserempak dengan seorang lelaki menunggang sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.
“Polis menghampiri motosikal tersebut dengan menjerit memperkenalkan diri dan mengarahkan (penunggang motosikal) supaya berhenti bagi pemeriksaan dilakukan.
“Suspek enggan memberhentikan motosikal dan terus memecut laju,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, polis bertindak mengejar motosikal tersebut sebelum lelaki itu secara tiba-tiba melepaskan beberapa tembakan ke arah polis.
Katanya, polis kemudian membalas dengan beberapa das tembakan ke arah suspek sehingga dia rebah.
“Pasukan polis membuat pemeriksaan terhadap lelaki tersebut dan dapati tidak bergerak serta menjumpai sepucuk pistol dan sejumlah dadah disyaki heroin bersama lelaki itu.”
Hamzah berkata, kes disiasat berhubung kesalahan cubaan membunuh, memiliki senjata api tanpa lesen dan mengedar dadah.