
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan mempunyai keyakinan tinggi terhadap kepakaran dalaman negara dalam mendepani cabaran berkaitan keselamatan siber.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata perkara itu dinyatakan Perdana Menteri ketika mempengerusikan Mesyuarat Keselamatan Siber Negara Bilangan 1/2025 sebentar tadi.
Melalui mesyuarat itu, Perdana Menteri sekali lagi menegaskan tentang kepentingan keselamatan siber yang menjadi keutamaan negara.
“Perdana Menteri menegaskan keupayaan agensi berkaitan dengan kerjasama pelbagai institusi pendidikan serta industri tempatan mampu memastikan Malaysia sentiasa bersedia dan berupaya menghadapi ancaman siber semasa dan akan datang.
“Justeru, kerajaan menyeru pihak tempatan yang mempunyai kepakaran dalam keselamatan siber bekerjasama dengan kerajaan agar ekosistem keselamatan siber dapat dipertingkatkan dengan lebih menyeluruh menggunakan kepakaran anak tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) disiarkan di Facebook PMO Malaysia, hari ini.
Mengulas lanjut, Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri melalui mesyuarat sama turut mengambil maklum dan berbincang mengenai tiga pembentangan.
“Ia berhubung situasi semasa keselamatan siber negara di mana secara umumnya terdapat trend penurunan insiden keselamatan siber antara 2023 dan 2024, serta status pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) di mana pelaksanaan akta ini terus diperkukuhkan melalui tambahan pelantikan ketua sektor infrastruktur maklumat kritikal negara (NCII) dan pakar keselamatan siber.
“Ia turut membincangkan mengenai penganjuran Cyber Games dan persidangan peringkat ASEAN anjuran bersama Analisis awal Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Council of Europe dan INTERPOL berhubung jenayah siber dipersetujui diadakan pada Mei depan,” katanya.
Ketika menegaskan mengenai kepentingan keselamatan siber, Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri memaklumkan dinamika ancaman siber adalah tinggi sejajar kebergantungan pelbagai aspek kehidupan memerlukan ekosistem dan prasarana keselamatan siber yang menyeluruh.
“Kerajaan, pihak swasta dan rakyat mempunyai peranan masing-masing untuk memastikan Malaysia berdaya tahan mendepani cabaran keselamatan siber,” katanya.