PUTRAJAYA: Permohonan bagi insentif penganjuran konsert dan acara bertaraf antarabangsa menerusi Concert and Event in Malaysia Incentives (CEMI) dibuka mulai esok hingga 10 Julai ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, insentif di bawah Kumpulan MyCreatives Ventures (MyCreative) itu bertujuan memacu pertumbuhan dan pembangunan industri konsert serta acara di Malaysia.
“Ia bagi menarik lebih banyak acara bertaraf antarabangsa dan berkualiti ke Malaysia.
“Inisiatif ini berpotensi menjana peluang pekerjaan, meningkatkan jumlah pelancong serta memberikan impak ekonomi yang signifikan kepada negara,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Fahmi berkata, CEMI menawarkan insentif kewangan kepada penganjur acara yang memenuhi kriteria kelayakan ditetapkan.
Katanya, kriteria itu merangkumi skala acara, impak ekonomi dan peningkatan kadar pelancongan yang dijangka, pembabitan kandungan tempatan serta pematuhan kepada garis panduan program.
Maklumat lanjut mengenai panduan dan syarat permohonan boleh dirujuk di www.mycreativeventures.com.my/CEMI.
