KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memainkan peranan secara berhemah selain bijak mengatur langkah dalam memelihara kelancaran perdagangan, seterusnya memberi kesejahteraan kepada rakyat.
Penganalis Ekonomi, Prof. Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, langkah-langkah yang diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim buat masa ini adalah tindakan bijak dengan menjalin hubungan baik dengan negara-negara kuasa besar daripada segi ketenteraan serta ekonomi.
Katanya, langkah itu bagi memastikan kelestarian ekonomi negara di masa hadapan.
“Malaysia sebagai negara yang kecil tetapi mempunyai potensi untuk berdagang dengan negara-negara lain di dunia tidak kira sama ada maju atau sedang membangun.
“Kita juga bernasib baik mempunyai hasil bumi bernilai tinggi dan mendapat pasaran yang luas. Malaysia juga berjaya dalam bidang pembangunan infrastruktur, pengilangan dan juga pembuatan,” katanya ketika dihubungi Ceritera di sini, hari ini.
Abu Sofian berkata, Malaysia juga boleh menjadi ‘orang tengah’ dalam konflik geopolitik antara negara-negara maju dan besar.
“Kesederhanaan yang ditunjukkan Malaysia terutama dalam kemelut tarif Amerika Syarikat (AS) di bawah pimpinan Donald Trump menunjukkan kita sebuah negara yang mempunyai pimpinan matang dan bijak.
“Ini akan memberikan kelebihan kepada negara terutama daripada sudut perdagangan dan ekonomi. Usaha dan langkah yang dijalankan sekarang perlu diteruskan di masa hadapan,” katanya.
Anwar dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia, Valdimir Putin di Kremlin hari ini.
Pertemuan tersebut dijangka akan diadakan pada pukul 1 tengah hari waktu tempatan (pukul 6 petang waktu Malaysia)
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pelbagai isu dua hala dan potensi kerjasama Malaysia dan Russia beberapa bidang antaranya perdagangan, pelaburan, pertanian, pendidikan, aeroangkasa dan tenaga.
Selain itu, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu perkembangan serantau dan antarabangsa.
Anwar dalam masa yang sama djadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Russia, Mikahial Mishutin.
Beliau dalam masa yang sama akan menerima kunjungan Mufti Besar Persekutuan Russia, Sheikh Rvil Gaynutdin.
