KUALA LUMPUR: Seramai 223 peserta menyertai Program Bangkit Usahawan Umrah siri kedua anjuran Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd (Andalusia), dalam meningkatkan mutu perkhidmatan agensi-agensi pelancongan umrah tempatan.
Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, program itu bertujuan mendekatkan agensi pelancongan yang lain dengan syarikat penerbangan.
Katanya, usaha tersebut dapat meningkatkan persaingan sihat dalam kalangan agensi pelancongan umrah tempatan.
“Persaingan ini bukan sahaja mendorong peningkatan mutu perkhidmatan, tetapi memastikan setiap agensi berlumba-lumba menawarkan pakej lebih telus, berpatutan dan berintegriti demi menjaga kepercayaan jemaah.
“Tajuk hari ini adalah amat berguna kepada ejen pelancongan yang ramai pengikut, tetapi tidak menjadi pelanggan. Dengan adanya kursus ini pengikut sekarang akan bertukar menjadi pelanggan,” katanya ketika berucap pada majlis penutup program tersebut di Auditorium Andalusia di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah; Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris dan Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin.
Terdahulu, program anjuran Andalusia dengan kerjasama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) itu turut disertai pelbagai agensi pelancongan dan syarikat penerbangan.
Khairul berkata, kerjasama rakan strategik amat penting bagi memastikan matlamat penganjurannya tercapai.
“Kita juga mahu rangkaian ini bukan sahaja diperluaskan menerusi industri umrah sahaja, malah bagaimana kita boleh memperkasakan syarikat Bumiputera dengan kolaborasi pelbagai pihak.
“Ia meliputi para rakan strategik, pengusaha hotel, syarikat penerbangan, penyedia makanan, penyedia inap desa dan sebagainya,” katanya.
