
KUALA LUMPUR: Program Bangkit Usahawan Umrah siri ke-2 anjuran Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd (Andalusia) merupakan satu inisiatif mendekatkan agensi pelancongan umrah tempatan dengan syarikat penerbangan.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, ia penting bagi mengelakkan kes penipuan membabitkan orang tengah berlaku dalam kalangan agensi umrah.
“Ia satu usaha untuk mendekatkan agensi umrah dgn ‘supplier’ berkaitan. Ada kalanya mereka tiada akses terus kepada syarikat penerbangan.
“Ini juga sebagai satu kesedaran kepada agensi-agensi umrah untuk mengetahui akses terus kepada supplier bagi mengelakkan penipuan orang tengah,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penutup program tersebut di Auditorium Andalusia di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan; Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin.
Terdahulu, seramai 223 peserta menyertai Program Bangkit Usahawan Umrah siri kedua Andalusia yang bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan agensi-agensi pelancongan umrah tempatan.
Menurut Ida Riswana, Andalusi juga menyediakan kelas digitalisasi pemasaran kepada para peserta terlibat.
“Kita mahu ramai pengusaha umrah ke arah digitalisasi. Matlamat kita adalah berkongsi ilmu supaya mereka lebih faham seterusnya mengelakkan mereka mengalami kerugian,” jelasnya.
Kata beliau, setakat ini sebanyak 191 agensi umrah berlesen sudah mendaftar dengan Andalusia.







