KOTA BHARU: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini bagi pertuduhan menikam abangnya menggunakan tulang ekor pari di Kampung Pauh Jabit Beris Kubur Besar, Bachok, 1 Mei lalu.
Tertuduh, Mohd Izwan Sukarnor, 36, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan menikam Mohd Fakhran, 40, menggunakan tulang ekor pari.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Pauh Jabit Beris Kubur Besar, Bachok jam 9.30 pagi pada 1 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Bagi Seksyen 326A pula boleh dihukum penjara bagi suatu tempoh dua kali ganda dari tempoh maksimum, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 16 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.
