
KOTA BHARU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) kenderaan yang digunakan oleh anggota pasukan keselamatan, terutama ketika dalam penugasan operasi.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat, berkata insiden yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pagi semalam adalah tragedi di luar jangka dan tidak dapat dielakkan.
Katanya, setiap agensi kerajaan perlu mengambil langkah awal membabitkan tahap keselamatan kenderaan digunakan, jumlah anggota yang patut berada dalam satu kenderaan serta faktor keselamatan lain termasuk penggunaan tali pinggang keledar.
“Perlu dilihat kembali apakah pengangkutan yang sesuai digunakan oleh anggota dalam operasi yang disertai mereka, termasuk pergi ke sesuatu tempat untuk berkursus dan majikan ataupun kementerian perlu menyediakan pengangkutan yang sesuai kepada anggota yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pengukuhan Penguatkuasaan Akta Kesihatan Awam 2025 anjuran Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia (Cawangan Timur) di Hotel Grand River View (GRV), di sini, hari ini.
Adnan berkata, jika anggota pasukan keselamatan menyertai operasi perlu dilihat apakah bentuk kenderaan yang sesuai, selain langkah keselamatan yang perlu ada dalam setiap kenderaan berkenaan.
Semalam, media melaporkan, sembilan anggota FRU maut dalam kemalangan dengan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam.
Kemalangan turut mengakibatkan sembilan lagi anggota FRU cedera dan kini dirawat di Hospital Teluk Intan.
Kejadian berlaku ketika 18 anggota FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh menaiki lori dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan keselamatan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.
Dalam perkembangan sama, Adnan turut membangkitkan persoalan berkait jaminan perlindungan terhadap penjawat awam selepas kerajaan memansuhkan skim pencen bagi lantikan baharu.
“Apabila berlaku sesuatu tragedi selepas ini kita tidak mahu waris kepada penjawat awam terkorban ketika bertugas terkapai-kapai tanpa jaminan yang sewajarnya hanya disebabkan skim lama sudah dimansuhkan.
“Justeru, satu bentuk perlindungan menyeluruh perlu digariskan dalam skim perkhidmatan akan datang, termasuk dari segi pampasan, kebajikan waris dan keselamatan kerja,” katanya.






