
PETALING JAYA: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menutup tirai 2025 dengan pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharu, Traz, model lima tempat duduk yang direka untuk kegunaan bandar serta memenuhi keperluan keluarga moden.
PERODUA Traz direka untuk menjadi kenderaan PERODUA paling mesra pengguna dengan slogan Engineered Simply.
SUV terbaharu itu ditawarkan pada harga antara RM76,100 hingga RM82,000 (harga atas jalan, tidak termasuk insurans) dan dijangka melengkapi rangkaian SUV Perodua seperti Aruz serta Ativa.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata kos pembangunan Perodua Traz adalah sekitar RM563.3 juta dan ia dihasilkan di kilang Perodua Manufacturing Sdn Bhd di Sungai Choh, Rawang, dengan kandungan tempatan mencecah 95 peratus.
“Kami menjangkakan model ini akan memberi impak positif kepada jumlah pendaftaran kenderaan PERODUA bagi tahun depan dan seterusnya.
“PERODUA menyasarkan jualan sekitar 1,900 unit sebulan bagi model baharu ini,”katanya ketika melancarkan Perodua Traz di sini, hari ini.
Ia dibangunkan berasaskan platform Toyota Yaris Cross pasaran ASEAN dengan panjang 4,310 milimeter (mm), lebar 1,770 mm dan jarak roda 2,620 mm.
Rangkaian kuasa Traz menggunakan enjin 1.5 liter aspirasi semula jadi yang dipadankan dengan transmisi D-CVT, iaitu sistem CVT split gear pertama di dunia.
Traz didatangkan dalam beberapa pilihan warna termasuk Cranberry Red, Electric Blue with Black Roof, Glittering Silver, Ivory White dan Granite Grey.







