
KUANTAN: Polis Pahang menafikan dakwaan pihaknya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kartel dadah berskala besar yang didakwa menjalankan kegiatan di Genting Highlands.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, setiap laporan berkaitan kegiatan yang menyalahi undang-undang akan disiasat dan tindakan sewajarnya diambil tanpa mengira lokasi.
Beliau berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan dakwaan yang tular di media sosial itu kerana polis sentiasa mengambil serius setiap laporan yang diterima.
“Mana-mana insiden yang berlaku sama ada di Genting Highlands atau di mana-mana sahaja, sekiranya ada laporan polis membabitkan insiden yang menyalahi undang-undang, kita tetap meneruskan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Jadi, untuk menyatakan ada kartel dadah besar beroperasi di Genting Highlands, saya menafikannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pahang di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Senior Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahar dilantik sebagai Ketua JPJKK Pahang yang baharu, menggantikan Datuk Mohamad Noor Yusof Ali yang dilantik sebagai Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ahmad Sukarno sebelum ini bertugas di Urusetia JPJKK Bukit Aman.
Majlis serah terima tugas itu turut menyaksikan Ahmad Sukarno menerima tanggungjawab berkenaan daripada Pemangku Ketua JPJKK Pahang, Asisten Komisioner Muhammed Rizal Kamarudin.
Azry Akmar berkata, pengalaman lebih 31 tahun Ahmad Sukarno dalam PDRM menjadi kelebihan untuk menerajui JPJKK Pahang.
Katanya, Ahmad Sukarno mempunyai pengetahuan, pengalaman dan kepimpinan yang relevan bagi meneruskan usaha serta pencapaian yang telah dibina oleh kepimpinan terdahulu.
“Saya percaya Ahmad Sukarno berupaya meneruskan segala usaha dan pencapaian yang dibina kepimpinan terdahulu.
“Pada masa sama, beliau boleh memperkenalkan pendekatan dan inovasi baharu bagi memperkukuhkan lagi fungsi JPJKK demi memenuhi aspirasi pasukan serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap PDRM, khususnya Kontinjen Pahang,” katanya.






