
LIPIS: Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd., sebagai agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah menganjurkan Program Ops Sedut IWK bersama komuniti Kuala Lipis, Pahang dalam usaha IWK memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengosongan tangki septik secara berjadual.
Program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad. Turut hadir ialah wakil daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), agensi-agensi kerajaan, pemimpin masyarakat serta Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Al-Ihsan Daerah Lipis (PKAYIA).
Program ini telah mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan kira-kira 200 orang penduduk setempat yang mengikuti pelbagai aktiviti termasuk demo dan taklimat kesedaran pengosongan tangki septik di Balai Raya Kampung Batu Nering. Selain itu, IWK turut menyampaikan sumbangan berupa katil asrama dan kerusi kepada Asrama Cemerlang Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Al-Ihsan Daerah Lipis (PKAYIA). Sumbangan berupa katil asrama dan kerusi tersebut merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) IWK bagi meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan penghuni asrama PKAYIA.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengosongan tangki septik secara berjadual, serta sebagai platform strategik untuk IWK mendekati komuniti dan berkongsi tanggungjawab dalam memelihara kebersihan serta kelestarian alam sekitar.
IWK mengenalpasti bahawa potensi pelaksanaan perkhidmatan pengosongan tangki septik di Kuala Lipis adalah melibatkan 539 akaun komersial dan 100 akaun domestik. Setiap tangki septik individu mempunyai kapasiti rawatan yang terhad dan perlu dikosongkan secara berjadual bagi memastikan ia terus berfungsi dengan baik. Kegagalan mengosongkan tangki septik secara berkala boleh menyebabkan tangki septik dipenuhi dengan enapcemar dan pepejal terampai yang boleh mengalir terus ke longkang dan seterusnya mencemarkan sungai, menjejaskan kesihatan awam serta alam sekitar.
Kegagalan mematuhi peraturan ini merupakan satu kesalahan di bawah subseksyen 65(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655], dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 jika disabitkan. Menerusi akta tersebut, IWK merupakan pemegang lesen yang dilantik untuk menjadualkan pengosongan tangki septik secara berkala. Melalui penganjuran program ini, PETRA dan IWK berharap lebih ramai pemilik tangki septik individu, sama ada pelanggan domestik mahupun komersial, akan mengambil langkah proaktif untuk menjadualkan pengosongan tangki septik secara berkala. Tindakan ini bukan sahaja memastikan sistem pembetungan beroperasi dengan cekap, malah membantu memelihara alam sekitar serta menyokong usaha negara ke arah pengurusan alam sekitar yang mampan.
Abdul Rahman berkata, jika tangki septik atau sistem pembetungan tidak diselenggara secara berkala, ia boleh menyebabkan pencemaran sungai, menjejaskan alam sekitar serta meningkatkan risiko penyakit bawaan air.
“Justeru, perkhidmatan pengosongan tangki septik amat penting bagi memastikan sistem berfungsi dengan baik.
“Usaha IWK menyelenggara tangki septik bukan sahaja melindungi sumber air, malah menjaga kesihatan komuniti. Syabas kepada seluruh warga kerja IWK.
“Saya berharap Program Ops Sedut hari ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkukuh kesedaran masyarakat melalui kerjasama erat semua pihak demi kesejahteraan komuniti Lipis,” katanya ketika berucap pada Program Ops Sedut IWK bersama komuniti Kuala Lipis di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, sistem pembetungan yang berfungsi dengan baik melindungi sungai daripada pencemaran, mengurangkan risiko penyakit serta memastikan kesejahteraan komuniti untuk generasi akan datang.
“Program yang kita laksanakan hari ini bukan sekadar aktiviti kesedaran, tetapi merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memupuk amalan penyelenggaraan sistem pembetungan yang baik di kalangan masyarakat.
“Di kawasan Padang Tengku sahaja, terdapat kira-kira 5,685 premis yang menggunakan tangki septik individu serta 7,814 sistem tangki palong.
“Ini menunjukkan bahawa sebahagian besar komuniti masih bergantung kepada sistem pembetungan setempat yang memerlukan penyelenggaraan berkala,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.
Beliau menambah, kadar penerimaan perkhidmatan pengosongan tangki septik berjadual masih berada pada tahap yang rendah dan perlu diubah bersama.
Jelasnya, tangki septik yang disenggara secara berkala bukan sahaja memanjangkan jangka hayat tangki itu sendiri malah dapat mengelakkan limpahan kumbahan, pencemaran alam sekitar serta kos pembaikan yang lebih tinggi pada masa hadapan.
Katanya, usaha menjaga sistem pembetungan bukanlah tanggungjawab IWK semata-mata. Ia memerlukan kerjasama semua pihak seperti agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pemimpin masyarakat dan yang paling penting, setiap pemilik premis.
Disediakan oleh Unit Komunikasi Korporat Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA)






