
KUALA LUMPUR: Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyerahkan Notis Tuntutan (LOD) bagi memulakan saman fitnah berjumlah RM5 juta terhadap dua pemilik akaun media sosial yang didakwa mengaitkannya dengan isu Lembaga Tabung Haji (TH).
Beliau berkata, tindakan itu diambil susulan penyebaran dakwaan tidak benar yang mempunyai niat jahat memburukkan nama, menjatuhkan reputasi serta mencemarkan maruahnya.
“Saya telah mengarahkan peguam saya, Datuk Adnan Seman menyerahkan LOD bagi memulakan saman fitnah sebanyak RM5 juta kepada pemilik-pemilik akaun yang memfitnah dan sengaja mahu memburukkan dan menjatuhkan reputasi saya dengan mengaitkan dengan pelbagai isu TH.
“Insya-Allah bermula petang ini, secara berperingkat LOD akan mula disediakan dan diserahkan kepada pemilik akaun yang berniat jahat untuk memburukkan nama, menjatuhkan reputasi dan mencemarkan maruah saya melalui penyebaran dakwaan yang tidak benar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum ini, Asyraf Wajdi menuntut ganti rugi RM5 juta daripada dua individu yang didakwa memfitnah beliau dengan mengaitkannya dalam isu TH.
Beliau dalam hantaran di Facebook memaklumkan, peguamnya sudah diarahkan mengeluarkan LOD terhadap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Amanah, Datuk Dr Ismail Salleh, serta pemilik akaun media sosial Abied Abdullah susulan dakwaan fitnah berkenaan.
Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, tindakan undang-undang itu bukan bertujuan mencari keuntungan, sebaliknya bagi memberi ruang kepada kebenaran dibuktikan menerusi proses pengadilan.
Beliau berkata seperti tindakan saman terdahulu, setiap wang yang diterima dan ditentukan oleh mahkamah kelak akan disalurkan kepada Yayasan Pelajaran MARA (YPM).
“Bukan wang yang saya cari, tapi insya-Allah, Allah akan tunjukkan kebenaran di muka pengadilan.
“Saya bertekad untuk menyalurkan setiap sen wang yang diterima dan ditentukan oleh mahkamah kelak ke Yayasan Pelajaran MARA untuk manfaat pelajar miskin, yatim dan susah,” katanya.






