
KUALA LUMPUR: Semua juruterbang Malaysia Airlines yang aktif beroperasi disahkan bebas daripada pengaruh dadah selepas 100 peratus daripada mereka didapati negatif menerusi ujian saringan air kencing yang selesai pada 15 Ogos lalu.
Malaysia Aviation Group (MAG) berkata, pelaksanaan saringan berkenaan dilakukan dalam tempoh ditetapkan sebagai langkah memperkukuh tahap keselamatan serta memastikan kru penerbangan sentiasa berada dalam keadaan sesuai untuk menjalankan tugas.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, kejayaan fasa pertama saringan itu merupakan pencapaian penting dalam memastikan piawaian keselamatan tinggi terus dilaksanakan secara konsisten di semua syarikat penerbangan di bawah kumpulan berkenaan.
“Keselamatan kekal menjadi teras setiap keputusan yang kami buat dan kami akan terus mengambil langkah yang perlu bagi memperkukuh perlindungan, mengekalkan piawaian operasi serta keyakinan penumpang dan pemegang taruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MAG, fasa seterusnya akan membabitkan kira-kira 2,840 kru kabin Malaysia Airlines yang akan menjalani saringan secara berperingkat mulai esok.
Proses berkenaan dijangka diselesaikan sepenuhnya pada 3 September ini.
Dalam pada itu, saringan berperingkat terhadap juruterbang dan kru kabin Firefly turut menunjukkan perkembangan positif setakat 15 Ogos lalu.
Lebih separuh daripada 158 juruterbang dan 163 kru kabin Firefly yang telah menjalani ujian disahkan bebas daripada pengaruh bahan terlarang.
Firefly dijangka menyelesaikan baki saringan menjelang 25 Ogos ini, lebih awal daripada tarikh akhir 5 September yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
MAG berkata, bagi memastikan tahap keselamatan penerbangan terus dipelihara, pihaknya akan mengekalkan program ujian rawak menerusi pasukan Keselamatan dan Kesihatan MAG dengan kerjasama pihak berkuasa.
Langkah itu turut melengkapi rangka kerja pemeriksaan kesihatan dan pematuhan sebelum penerbangan yang sedia ada.
Menurut MAG, langkah pencegahan berkenaan merangkumi saringan sebelum pengambilan pekerja, pensijilan perubatan, latihan berkala, ujian alkohol dan dadah secara berkala, pemeriksaan pematuhan wajib sebelum penerbangan serta penilaian kecergasan kru untuk bertugas.
MAG menegaskan komitmennya untuk mengekalkan standard keselamatan dan profesionalisme yang ketat di semua syarikat penerbangannya.
Kumpulan itu turut akan terus memperkukuh langkah pencegahan bagi memastikan kebajikan pekerja, keselamatan penumpang serta kelancaran operasi penerbangan sentiasa terpelihara.







