
NAYPYIDAW: Faktor keselamatan menjadi antara halangan utama dalam usaha membawa pulang pelarian Rohingya ke Myanmar susulan konflik bersenjata yang masih berlarutan di negeri Rakhine.
Kerajaan junta Myanmar mengesahkan seramai 308,797 individu yang kini dipindahkan dan ditempatkan berhampiran kem pelarian di Bangladesh merupakan bekas penduduk negeri Rakhine.
Kementerian Luar Myanmar berkata, proses penghantaran pulang kumpulan berkenaan hanya akan dilaksanakan selepas keadaan keselamatan di Rakhine bertambah baik.
Menurutnya, urusan penghantaran pulang etnik Rohingya adalah perkara dua hala yang hanya membabitkan Myanmar dan Bangladesh.
“Myanmar mengesahkan 308,797 penduduk yang dipindahkan di Bangladesh sebagai bekas penduduk Rakhine daripada 828,824 nama yang dikemukakan sehingga 31 Julai lalu,” katanya.
Myanmar turut mendakwa 4,241 individu dalam senarai penghantaran pulang yang dikemukakan Bangladesh dikenal pasti terbabit dalam kegiatan keganasan, manakala identiti 113,507 lagi masih tidak dapat disahkan.
“Proses penghantaran pulang hanya akan dimulakan selepas keadaan keselamatan di Rakhine menjadi lebih stabil,” menurut kementerian itu.
Dalam pada itu, Myanmar turut bersetuju menerima semula 5,000 pencari suaka Rohingya dari Malaysia.
Bagaimanapun, Kuala Lumpur memaklumkan proses penghantaran pulang tidak akan diteruskan sekiranya langkah berkenaan boleh mengancam keselamatan atau nyawa mereka.
Usaha membawa pulang Rohingya ke Myanmar sebelum ini turut berdepan kegagalan apabila aturan penghantaran pulang pada 2018 dan 2019 tidak membawa kepada kepulangan seorang pun, meskipun persediaan dua hala telah dibuat.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 700,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh pada 2017 selepas tindakan keras pasukan keselamatan Myanmar.
Jumlah itu terus bertambah apabila sebahagian penduduk Rohingya masih meninggalkan Myanmar melalui laluan darat dan laut bagi mendapatkan perlindungan.
Keadaan keselamatan di Rakhine kini semakin kompleks apabila tentera Myanmar berdepan pertempuran dengan Tentera Arakan, kumpulan bersenjata etnik yang berpangkalan di negeri berkenaan.
Tentera Arakan memperjuangkan autonomi lebih besar bagi Rakhine dan kini menguasai sebahagian besar kawasan di negeri berkenaan.
Konflik berterusan itu menyebabkan usaha mewujudkan keadaan selamat untuk kepulangan Rohingya terus menjadi cabaran kepada Myanmar serta negara yang menempatkan pelarian berkenaan. – REUTERS







