JOHOR BAHRU: Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang bakal menghubungkan Malaysia dan Singapura kini menunjukkan kemajuan memberangsangkan, apabila keseluruhan kerja pembinaan telah mencapai 65 peratus siap setakat ini.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, kemajuan pembinaan struktur utama seperti Stesen Bukit Chagar, Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) berada pada tahap hampir siap sepenuhnya.
Beliau memaklumkan, struktur jejambat projek berkenaan telah siap 91 peratus, manakala pembinaan stesen mencapai 73 peratus dan kompleks CIQ pula berada di tahap 76.8 peratus.
“Perkembangan projek ini amat positif. Hari ini saya berpeluang meninjau sendiri tapak dan melihat struktur yang sudah siap sehingga ke aras platform.
“Ia menandakan projek ini semakin menghampiri realiti,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau kemajuan RTS Link di Stesen Bukit Chagar, di sini hari ini.
Beliau memaklumkan set tren pertama bagi projek RTS dijangka tiba di Depoh Wadi Hana pada pertengahan November ini, dengan ujian pergerakan awal dirancang untuk dilaksanakan sekitar bulan Disember.
“RTS Link disasarkan siap sepenuhnya menjelang 31 Disember 2026 dan beroperasi kepada orang awam pada Januari 2027,” ujarnya.
