KUALA LUMPUR: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin, bakal melangsungkan pernikahan dengan pasangannya, Afzaa Fadini Abdul Aziz, pada 2 Oktober ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani, Istiadat Pernikahan Diraja akan berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.
Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi meraikan perkahwinan tersebut akan diadakan pada 22 Oktober di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah.
Bagi memohon kelancaran semua istiadat dan majlis yang dirancang, satu majlis bacaan Yasin dan doa selamat akan diadakan pada 25 September di seluruh masjid di Selangor.
Majlis itu akan dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Pada tarikh yang sama, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Raja Muda Selangor dijadual berkenan berangkat menghadiri Majlis Doa Selamat yang akan berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
