
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berhubung dakwaan menghina mahkamah mengenai kenyataannya melibatkan kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.
Surat tunjuk sebab itu dikeluarkan susulan kenyataan Mohd. Shafie dalam sebuah majlis di Sandakan, Sabah, yang turut dimuat naik ke laman sosial Facebook.
Dalam ucapannya, beliau didakwa menyatakan kematian Zara Qairina merupakan satu pembunuhan selain mempersoalkan tatacara siasatan pihak polis dan pakar patologi forensik.
Koroner Amir Shah Amir Hassan mengeluarkan notis berkenaan selepas tiada bantahan dikemukakan oleh mana-mana pihak yang terlibat dalam prosiding, termasuk Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues.
Permohonan bagi mengeluarkan surat tunjuk sebab itu dibuat oleh peguam Datuk Ram Singh dalam prosiding tertutup yang berlangsung hari ini.
Ram Singh merupakan salah seorang peguam mewakili Pelajar A, yang sebelum ini dikaitkan dengan tuduhan mengeluarkan kata-kata mencela terhadap Allahyarham Zara Qairina.
Perkara itu turut disahkan oleh seorang lagi peguam, Azhier Farhan Arisin, ketika dihubungi pihak media.





