
PUTRAJAYA: Para pegawai dan kakitangan yang terlibat dalam urusan pentadbiran tanah diingatkan lebih peka terhadap cabaran semasa, khususnya berkaitan isu pengambilan tanah yang kini semakin kompleks dan sensitif.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkata isu-isu tanah pada masa kini tidak lagi tertumpu kepada aspek teknikal atau perundangan semata-mata, sebaliknya melibatkan sentimen masyarakat, pertikaian politik serta campur tangan pelbagai pihak berkepentingan.
“Kalau dahulu soal tanah dianggap mudah, hari ini negara sudah berubah.
“Kita perlu lebih berfokus dan memahami cabaran-cabaran baharu yang mungkin tidak pernah kita hadapi sebelum ini,” katanya ketika merasmikan Persidangan Tanah Persekutuan di sini hari ini.
Johari turut mencontohkan isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru di kawasan Kampung Baru, Kuala Lumpur, yang mencetuskan polemik besar melibatkan dua kumpulan penduduk.
“Apabila tidak ada persetujuan dan perkara ini gagal dikendalikan dengan baik oleh pemaju, maka ada pihak yang mula memainkan sentimen dan menjadikan ia isu politik.
“Akhirnya, ia kelihatan seperti satu bentuk ‘rusuhan’ hanya kerana perbezaan tafsiran terhadap status tanah itu,” jelas beliau.
Dalam ucapannya, Johari turut menegaskan dasar dan naratif berkaitan pentadbiran tanah mestilah digerakkan oleh kerajaan sendiri, bukan oleh pemaju mahupun ahli politik bagi memastikan kepentingan negara dan rakyat terus terpelihara.
“Apabila tiada penjelasan yang teratur mengenai perbezaan antara tanah Melayu, tanah pegangan bebas, atau tanah pajakan, maka wujud kekeliruan yang membuka ruang kepada manipulasi,” katanya.
Beliau berkata, hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dalam soal pentadbiran tanah juga semakin mencabar, berbanding sebelum ini yang lebih seiring dari segi dasar dan hala tuju pembangunan.
“Selepas lebih 68 tahun, kita melihat kerajaan-kerajaan negeri kini mempunyai aspirasi pembangunan sendiri yang kadangkala tidak selari sepenuhnya dengan dasar kerajaan Persekutuan,” katanya.
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menegaskan perlunya pendekatan yang lebih tersusun dan inklusif dalam pentadbiran tanah, bagi menangani cabaran yang semakin rencam dalam landskap pembangunan negara hari ini.







