
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melanjutkan waktu operasinya pada setiap hujung minggu di seluruh negara bermula 27 September hingga 26 Oktober ini bagi memudahkan orang ramai memperbaharui lesen memandu, susulan pelaksanaan program subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95).
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah ini diambil bagi membantu orang ramai, khususnya mereka yang mempunyai kekangan masa pada hari bekerja untuk menguruskan pembaharuan lesen memandu.
Beliau berkata, kaunter lesen memandu dan kaunter pelbagai akan dibuka setiap Sabtu dan Ahad dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang di semua pejabat JPJ negeri dan cawangan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter mulai 30 September ini di bawah program BUDI95, dengan pengesahan kelayakan dilakukan menggunakan MyKad.
Setiap individu layak menggunakan sebanyak 300 liter petrol RON95 sebulan, manakala perkhidmatan e-panggilan seperti e-hailing dan teksi tidak tertakluk kepada had penggunaan tersebut.
Aedy turut memaklumkan terdapat seramai 2.3 juta pemegang lesen memandu kompeten (CDL) yang sudah tamat tempoh melebihi tiga tahun dan diwajibkan menduduki semula ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 di institut memandu bagi mengaktifkan semula lesen mereka.
Dalam masa yang sama, sebanyak 15.2 juta pemegang CDL masih aktif.
Bagi mereka yang lesen memandu tamat tempoh kurang daripada tiga tahun, pembaharuan boleh dilakukan secara terus tanpa hadir ke kaunter JPJ melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap atau kiosk JPJ.
Beliau berharap inisiatif ini dapat memudahkan orang ramai memanfaatkan kemudahan yang disediakan kerajaan, selain meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang jalan raya melalui pemilikan lesen memandu yang sah.





