
KUALA TERENGGANU – Kebocoran paip gas di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kemasik, Kemaman disahkan tidak menjejaskan jadual pembinaan projek mega berkenaan yang kini telah mencapai 87 peratus kemajuan keseluruhan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerja-kerja pembersihan sisa gas giat dijalankan dengan pemantauan ketat oleh agensi berkaitan.
“Saya rasa tidak (menjejaskan projek ECRL), kerana biasanya apabila saluran paip gas bocor, ia tidak meletup. Jadi, kes ini tidak sama dengan kejadian di Putra Heights, ia berbeza.
“Walaupun berlaku kebocoran, tindakan segera telah diambil semalam untuk menutup bekalan. Kebocoran itu kini sedang dibaiki dan kerja-kerja pembaikan dijalankan serta-merta,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Transformasi Perkhidmatan Bas.My Kuala Terengganu Pasar Payang.
Mengulas lanjut mengenai kerja-kerja pembaikan paip gas tersebut, Anthony berkata, hanya Petronas yang boleh menentukan tempoh siap pembaikan kerana ia melibatkan aset milik syarikat itu.
“Siasatan sedang dijalankan oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan agensi-agensi lain.
“Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah mengemukakan laporan awal kepada saya, manakala Petronas akan melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera. Saya yakin perkara ini boleh diselesaikan dalam masa terdekat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan walaupun berdepan beberapa kekangan, proses pembinaan ECRL masih berjalan mengikut perancangan.
“Segmen di Terengganu antara yang paling cepat kerana isu tanah telah diselesaikan lebih awal dan keadaan geografi yang rata memudahkan kerja-kerja pembinaan.
“Bahagian yang masih mencabar adalah dari Bentong ke Gombak, khususnya di kawasan Terowong Genting. Di Kelantan dan Terengganu, kebanyakan proses pembinaan hampir siap,” jelasnya.





