PUTRAJAYA: Pendakwa Raya hari ini mengemukakan 28 alasan bagi meminta Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, daripada sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan.
Keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lalu itu membabitkan kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA). Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi.
Petisyen rayuan difailkan Pendakwa Raya sekitar jam 2 petang tadi dengan menamakan Syed Saddiq sebagai responden. Dalam petisyen itu, Pendakwa Raya memohon supaya Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengembalikan sabitan serta hukuman asal yang diputuskan Mahkamah Tinggi.
Daripada 28 alasan tersebut, 15 berkait pertuduhan bersubahat pecah amanah mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan, sembilan alasan berhubung tuduhan salah guna harta mengikut Seksyen 403, manakala empat alasan berkaitan dua tuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta AMLATFPUAA 2001.
Antara hujah dikemukakan, Pendakwa Raya menegaskan Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila mendakwa pihak pendakwaan serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tekanan kepada saksi pendakwaan ke-13, Rafiq Hakim Razali, untuk menyesuaikan keterangan dengan kes pendakwaan.
“Walhal, tiada keterangan menyokong tuduhan itu. Hakim juga terkhilaf apabila melakukan pendekatan salah dalam menilai keterangan pendakwaan dengan mempunyai pemikiran yang telah dipengaruhi bahawa SPRM dan pendakwaan menggunakan saksi itu untuk memberikan keterangan yang tidak memihak responden.
“Ia sekali gus menolak keterangan SP13 yang mana jika dilihat secara keseluruhan adalah suatu keterangan yang benar mengenai apa yang disahkan ketika sesi pemeriksaan balas,” katanya.
Selain itu, Pendakwa Raya menyatakan hakim terkhilaf apabila membebaskan Syed Saddiq, sedangkan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah bagi pertuduhan persubahatan.
Hakim Mahkamah Rayuan juga dikatakan terkhilaf apabila memutuskan tiada kes prima facie, sedangkan perayu ditegaskan telah membuktikan semua elemen kesalahan persubahatan dengan keterangan yang berwibawa.
Menurut petisyen itu lagi, Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila membuat dapatan bahawa dana RM120,000 untuk kempen pilihan raya adalah hak peribadi responden.
“Wang itu tidak boleh dianggap sebagai hak mutlak beliau kerana ia dikutip khas untuk tujuan kempen parti dan tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun peribadi.
“Sebahagian wang berkenaan turut dipindahkan ke akaun pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) atas nama beliau.
“Keterangan saksi utama, iaitu SP13, adalah jelas dan kukuh apabila menunjukkan terdapat arahan terus berhubung pengeluaran dana RM1 juta milik ARMADA pada 6 Mac 2020.
“Namun, keterangan berkenaan ditolak sehingga menjejaskan keseluruhan pertimbangan undang-undang,” kata petisyen itu.
Pendakwaan berhujah Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila beranggapan sabitan pengubahan wang haram tidak boleh berdiri tanpa kesalahan predikat, sedangkan Seksyen 4(1)(b) Akta AMLATFPUAA 2001 membolehkan pertuduhan itu berfungsi secara sendiri.
Dalam keputusan sebulat suara, panel Mahkamah Rayuan membebaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023.
Panel mendapati pertuduhan tidak berasas kerana pendakwaan gagal membuktikan kesalahan bersubahat walaupun pada peringkat prima facie. Menurut mahkamah, tindakan mengarahkan pengeluaran wang tidak boleh dianggap sebagai pelupusan wang, manakala perbuatan mengeluarkan wang itu sendiri tidak memenuhi elemen actus reus.
Sehubungan itu, sabitan terhadap empat pertuduhan yang dikenakan Mahkamah Tinggi dianggap tidak selamat dan tersalah arah.
Syed Saddiq sebelum ini didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali, menyalahgunakan dana RM1 juta milik sayap pemuda parti itu. Beliau turut berdepan tuduhan menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun ARMADA Bumi Bersatu Enterprise serta dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM50,000 setiap satu yang dipindahkan ke akaun miliknya di Amanah Saham Bumiputera.
