SUNGAI PETANI: Seorang lelaki sanggup terjun ke kawasan berlumpur berhampiran Jeti Pasar Bisik di sini demi meloloskan diri daripada ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam satu operasi khas yang dijalankan pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, lelaki dipercayai warga Nepal tersebut nekad selepas menyedari kehadiran anggota AADK Kedah yang menjalankan Ops Cegah Khas 3.0, yang bermula sejak semalam.
Lebih mengejutkan, lelaki itu melarikan diri dengan merangkak dalam lumpur menuju ke arah sempadan Pulau Pinang berhampiran jeti berkenaan dengan meninggalkan anak lelakinya yang berusia 10 tahun di lokasi kejadian.
Menurut kanak-kanak itu, dia datang ke jeti bersama bapanya menaiki motosikal sebelum melihat lelaki itu tiba-tiba terjun ke dalam lumpur sebaik operasi bermula.
“Ibu saya orang Indonesia, tapi dia sudah lama tak tinggal dengan kami. Dia lari ikut lelaki lain,” katanya ketika ditanya.
Dalam operasi sama, seorang wanita berusia 31 tahun turut ditahan selepas didapati positif dadah jenis syabu.
Ketika tangkapan dilakukan, suami wanita terbabit tiada di rumah kerana keluar menangkap ikan di laut.
Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, seramai 37 individu sudah menjalani ujian saringan awal air kencing.
Hasilnya, 35 orang didapati positif dadah dan ditahan untuk siasatan lanjut, manakala dua lagi dibebaskan.
