
TAWAU: Hanya kerana tidak berpuas hati dengan isu pertukaran tempat duduk, dua pelancong warga China menghantar emel ugutan mendakwa terdapat bom dalam sebuah pesawat syarikat penerbangan tempatan.
Pasangan terbabit iaitu wanita berusia 28 tahun dan lelaki 29 tahun terlebih dahulu menghubungi ejen pelancongan bagi menukar tempat duduk penerbangan mereka dari Tawau ke Kota Kinabalu, namun tidak menerima sebarang maklum balas.
Akibat tidak puas hati, mereka kemudian menghantar emel ke ibu pejabat syarikat penerbangan di Kuala Lumpur, menyatakan terdapat bom dalam pesawat yang dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai ugutan itu daripada kakitangan syarikat penerbangan pada pukul 3 petang semalam.
“Susulan laporan itu, polis menahan pasangan pelancong terbabit dan membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya.
Mahkamah Majistret kemudian mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap kedua-dua suspek sehingga 27 September ini, kata Jasmin lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan menyebarkan berita yang boleh menyebabkan ketakutan awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pasangan pelancong itu baru selesai bercuti di Semporna dan dijadualkan menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu pada hari kejadian.







